Harry Potter - Golden Snitch

My Story - Majlis Pecah Tanah Kolej Kadazandusun Murut Oleh Datuk Seri Najib Razak


17 JUN 2012 - TAMBUNAN, SABAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan majlis pecah tanah Kolej Kadazandusun Murut (Kolej KDM) yang bermatlamat untuk menyerlahkan lagi penyertaan rakyat khususnya masyarakat KDM dalam arena pendidikan negara.

Sambil menyifatkan penubuhan kolej itu sebagai langkah yang tepat, beliau berkata, kerajaan Persekutuan menyokong penubuhan Kolej KDM yang bakal dibina di Kaingaran, Tambunan itu, sekali gus memberi peluang yang lebih luas kepada pelajar dari kawasan pedalaman Sabah untuk meneruskan pelajaran di kolej berkenaan.

"Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menyokong tetapi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan secara bersama berkongi untuk membiayai kos (pembinaan) kolej itu. Soal jumlah yang diperuntukkan akan ditentukan selepas meneliti cadangan yang akan dikemukakan tidak lama lagi oleh pihak Tan Sri Pairin.
"Inilah kerajaan Barisan Nasional (BN) Kalau kita kata tubuh kita akan tubuhkan...kalau kita janji kita tunaikan," katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Kolej KDM Sabah di Dataran Pinsompuruan di sini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Tambunan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Najib berkata, kerajaan BN tidak akan berjanji sesuatu yang tidak boleh ditunaikan dan "ini berbeza dengan pembangkang yang sentiasa menjanjikan bulan dan bintang semata-mata untuk meraih sokongan rakyat".

"Anda boleh menipu semua orang pada sesuatu masa tetapi anda tidak boleh menipu semua orang sepanjang masa, dan mereka telah menipu semua orang selama ini...tak boleh pakai pembangkang dan saya harap orang Tambunan ini pandai menilai," katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menggariskan impiannya untuk kemajuan dan masa depan yang lebih baik untuk negara.

Najib berkata, beliau mahu melihat negara ini sentiasa aman, selamat dan harmoni.

"Impian saya yang kedua ialah bagaimana mahu melakukan perubahan atau transformasi untuk kawasan bandar dan luar bandar yang boleh meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya negara dapat dimahkotakan sebagai negara maju," katanya.

Selain itu, beliau mahu melihat pewujudan peluang dalam semua aspek untuk kebaikan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama di negara ini.

"Melihat semula kepada konsep 1Malaysia, saya merasakan antara perkara yang perlu diutamakan ialah sikap saling menghormati antara satu sama lain. Itu sebabnya saya datang ke Tambunan ini kerana menghormati masyarakat KDM," katanya.

Sambil memberi contoh sejarah pemimpin berpengaruh KDM di pedalaman suatu ketika dulu OKK Sedomon, beliau yang sempat melawat rumah keluarga OKK Sedomon Gunsanad di Bingkor, Keningau sebelum melawat Tambunan berkata ayahanda beliau Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pernah berjumpa dengan OKK Sedomon di rumah itu pada 1963 untuk menjayakan pembentukan Malaysia.

"Bukan mudah untuk menyakinkan OKK Sedomon pada ketika itu. Saya mendapat tahu bahawa ayahanda diterima baik oleh OKK Sedomon dan ayahanda saya memanggil OKK Sedomon sebagai "bapa" walaupun ayahanda memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri waktu itu.

"Prinsip yang saya dapat pelajari ialah walaupun tinggi sekali jawatan tetapi sebagai pemimpin perlu bersikaf rendah diri dan sanggup bersama rakyat...Insya-Allah rakyat akan bersama kita," katanya.

Terdahulu, Pairin menyucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan pimpinan Najib yang memberi lampu hijau untuk penubuhan Kolej Komuniti yang dipanggil Kolej KDM.

Beliau turut menghargai kehadiran Najib di Tambunan yang menurutnya merupakan Perdana Menteri pertama yang menjejaki daerah berkenaan.

Pairin juga menghargai sumbangan idea pelbagai pihak termasuk Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) bagi menjayakan penubuhan Kolej KDM. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Don't forget to drop your comment.. Thanks ya!

Tutorial Blog Tutorial Blog Tutorial Blog
Creative Commons License
Khaiangel (Dot) Com is licensed under a
Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike 3.0 Unported License
.
©KhaiAngel.Blogspot.Com All Rights Reserved