17 JUN 2012, TAMBUNAN - SABAH: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.
Najib Tun Razak berkata, pemimpin tidak akan kehilangan pangkat atau
kedudukan yang tinggi jika bermesra atau menghormati rakyat.
Katanya, ibarat ular menyusur diakar tidak akan hilang bisanya,
demikian juga pemimpin tidak hilang kuasanya jika menghormati rakyat
bawahan. Perdana Menteri menyatakan perkara itu semasa berucap pada Majlis Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Kolej KDM di Pisompuruan Square Tambunan. “Ilham ini saya pelajari daripada Allahyarham ayahanda saya semasa
menemui mendiang Orang Kaya-Kaya (OKK) Sedomon semasa berunding
penyertaan Sabah dengan penubuhan negara Malaysia pada masa dahulu,”
katanya.
Pada ketika itu katanya, ayahanda beliau Tun Abdul Razak berunding OKK Sedomon di Rumah Besar di Bingkor yang pada mulanya tidak bersetuju Sabah menyertai Malaysia. “Pertemuan itu berhasil apabila ayahanda saya merendahkan diri dan menyebut OKK Sedomon sebagai bapa, maka OKK
Sedomon tertarik dengan sebutan itu lalu bersetuju dan menyatakan
kesediaannya membawa masyarakat Kadazan Dusun Murut khususnya di kawasan
pedalaman menyertai pembentukan Malaysia,” jelas Najib.
Justeru itu katanya, pemimpin-pemimpin pada masa ini perlulah
menghormati rakyat bawahan agar mereka tertarik dengan sikap yang
sedemikian dan sekali gus memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan
Nasional (BN).
Kesimpulannya kata Perdana Menteri adalah masyarakat pelbagai kaum
di negara ini harus saling hormat-menghormati tanpa mengira kedudukan
atau pangkat. “Saya datang ke Tambunan kerana saya menghormati masyarakat KDM dan masyarakat keseluruhannya di kawasan pedalaman,” kata Najib.
Najib yang merupakan Perdana Menteri yang pertama kali datang ke
Tambunan berkata, impian pertama beliau adalah untuk melihat negara
Malaysia selamat dan harmoni walaupun terdiri dari pelbagai kaum dan
kepercayaan.
“Impian kedua saya adalah ingin melihat transformasi pembangunan
luar bandar akan dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat di negara
ini. Dan impian ketiganya, adalah memikirkan bagaimana saya dan rakan
dalam BN sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri memberi
pembangunan kepada rakyat,” katanya.
Hasrat Kerajaan ini kata Najib adalah ingin melihat rakyat di negara
ini dapat menikmati pembangunan di bawah langit biru gagasan 1Malaysia.
Mengenai pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan BN, Najib
berkata beliau tidak perlu menghuraikannya kerana rakyat sendiri khusus
masyarakat Tambunan sudah pandai menilainya. “Kita bukan seperti pembangkang yang pandai menabur janji tetapi
tidak dapat menunaikannya. Kita berjanji dan kita akan tunaikan janji,”
tegas Najib.
Mengulas tentang penubuhan Kolej KDM di Tambunan Najib berkata, penubuhannya adalah amat tepat.
Najib berkata, kehadiran beliau di Tambunan adalah langkah menyokong kewujudan Kolej KDM di daerah ini khususnya dan di Pedalaman amnya. “Kita bukan sekadar menyokong tetapi Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri berkongsi bersama-sama membiayai pembinaan Kolej KDM tersebut,” jelasnya.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Speaker DUN
Sabah Datuk Seri Mohd, Salleh Tun Said, Menteri Pelancongan, Kebudayaan
dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun, Setia Setiausaha Kerajaan Negeri
Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman, Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah
Mansor, Isteri Ketua Menteri Datin Seri Hajah Faridah Haji Tussin, Puan
Sri Genevie Kitingan, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin
masyarakat.
uiiikkss...pantau tapak pembinaan,nikmati jalan raya yg garabel dan pecah tanah sepatutnya di tapak kolej kdm bukan bawa tu tanah di pisompuruan...
ReplyDelete